Tuesday, 26 July 2011

Khasiat Buah Kurma

Tatkala bulan puasa menjelang maka banyaklah buah kurma dijual dipasaran. Ia adalah sejenis tumbuhan palma seperti kelapa sawit sementara buahnya bertangkai seperti buah pinang.

Khasiat pemakanan kurma sangat tinggi seperti kismis dan aprikot kering. Antaranya kurma kaya dengan protein (2%), serat (4%), gula (50-57%), vitamin A dan C serta zat galian seperti besi, kalsium, sodium dan potasium.

Ada sesetengah orang bila memakan kurma mereka akan membuang kulitnya. Tetapi tahukah anda kulit kurma yang mengandungi serat, amat baik untuk mencegah barah usus besar kerana ia melawaskan. Jus kurma amat baik untuk mengubati sembelit. Tetapi mereka yang menghidap diabetes tidak digalakkan mengamalkannya kerana dikhuatiri akan memburukkan diabetes.

Kurma juga mengandungi vitamin A dan C yang amat tinggi serta banyak mengandungi potasium yang diperlukan oleh badan untuk sistem saraf.

Potasium merangsang selera makan bagi yang berpenyakit serta bagus untuk golongan yang mengalami sembelit, lemah otot, sengal-sengal badan, letih, lesu, mengalami tekanan serta menguatkan daya ingatan..
Kurma menyumbang tenaga serta merta kepada si pemakan. Sebab itulah kita digalakkan mengambilnya sewaktu berbuka puasa.

Diriwayatkan oleh Aishah r.a. yang menjelaskan, kurma mengandungi ubat. “Jika sesiapa yang selalu makan kurma akan dihindari daripada terkena racun yang dimakan.”

Dikisahkan sewaktu Mariam melahirkan Nabi Isa a.s. dibawah pohon kurma. Telah datang malaikat Jibrail menyuruh Mariam menggegar pohon kurma lantas dimakannya. Dengan izin Allah, ia memudahkan kelahirkan Nabi Isa a.s.

Dalam bidang perubatan kurma amat baik untuk meredakan tekanan darah tinggi. Sementara biji kurma yang dikisar halus dan dijadikan serbuk seperti teh, direndam dan diminum bagi menyembuhkan pelbagi jenis penyakit.

Kurma yang dimakan bersama badam dan madu juga dikatakan mampu menyembuhkan penyakit. Kurma dikatakan menambah tenaga seksual.

Kurma juga merupakan penawar dalam perubatan traditional untuk mengatasi masalah insomnia. Bagi mereka yang mengalami masalah batuk, kurma sesuai untuk diamalkan kerana kandungan gula dalam buah kurma bertindak menghilangkan gatal-gatal dalam kerongkong sekaligus menghentikan batuk.
Mengikut pendapat pakar perubatan, buah kurma kaya dengan unsur zat besi dan kalsium sesuai untuk wanita sama ada semasa hamil atau selepas bersalin.

Dengan segala khasiat yang terkandung di dalamnya maka buah kurma seharusnya dimakan tidak hanya pada bulan puasa. Ia sepatutnya menjadi makanan kita sepanjang tahun.

No comments:

Post a Comment