Kolesterol seringkali dikaitkan dengan mereka yang berbadan besar atau berisi. Bagaimanapun tanggapan itu sebenarnya memang salah.
Kandungan kolesterol yang tinggi dalam darah sebenarnya tidak bergantung kepada saiz badan seseorang. Jadi tidak hairanlah jika seseorang yang kurus mempunyai paras kolesterol yang tinggi.
Kolesterol tidak boleh dilihat dengan mata kasar kerana ia berada dalam saluran darah.
Jumlah kolesterol dalam tubuh boleh diketahui melalui profil lipid iaitu ujian darah yang merangkumi jumlah kolesterol lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL), Kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) dan trigliserida.
Sebaik-baiknya kandungan kolesterol dalam badan seseorang dewasa itu perlu di bawah 5.2 mmol/L.
Kolesterol terbahagi kepada dua iaitu kolesterol jahat yang merujuk kepada LDL dan kolesterol baik pula HDL.
Kolesterol jahat iaitu LDL akan membuatkan pembuluh darah tersumbat manakala HDL akan membawa kolesterol ke pembuluh darah untuk dibawa ke hati dan seterusnya akan dikeluarkan dari tubuh.
Seseorang itu perlu menjaga tahap kolesterol di dalam darah supaya berada keadaan terkawal. Ini penting kerana kolesterol tinggi akan menyebabkan seseorang itu diserang penyakit jantung atau strok yang merupakan antara pembunuh utama kepada rakyat negara ini.
Menjaga pemakanan dengan baik setiap hari adalah langkah yang baik supaya tahap kolesterol tidak merbahayakan kesihatan. Jauhi makanan yang mengandungi lemak tepu seperti daging, produk tenusu, santan, minyak kelapa sawit, ais krim, coklat dan susu pekat manis kerana ia boleh meningkatkan paras kolesterol jahat (LDL).
Makanan yang mengandungi lemak trans (lemak terhidrogen) yang terkandung dalam makanan komersial tersedia seperti kek, biskut, snek, mentega kacang dan makanan berproses seperti sosej, pai, nugget, burger dan donut juga mengandungi kolesterol jahat (LDL). Hadkan pengambilan makanan itu kerana ia akan merendahkan kolesterol baik (HDL).
Makanan yang mengandungi lemak tak tepu pula dapat mengurangkan risiko serangan jantung kerana mengandungi anti-oksida dan tidak akan meningkatkan paras kolesterol jahat (LDL). Walaubagaimanapun jika diambil dalam jumlah berlebihan ia akan meningkatkan berat badan seseorang.
Antara makanan yang mengandungi kolesterol baik (HDL) ialah jenis minyak seperti zaitun, bijan, kacang, jagung, kanola manakala ikan dari jenis salmon, tuna, mackerel, cencaru, tongkol, tenggiri, selain bijian, kekacang dan marjerin tidak tepu (soft).
Bagi mengelakkan penggunaan lemak yang berlebihan sebaiknya gunakan minyak kelapa sawit untuk menggoreng dalam jumlah yang banyak seperti goreng ikan. Gunakan minyak jenis lemak tak tepu jika ingin memasak dengan minyak yang sedikit seperti mengoreng sayur dan sebagainya.
Selain itu elakkan menggunakan menggunakan minyak berulang-kali terutama apabila ia adalah minyak lemak tak tepu.
'Toskan dan keringkan minyak daripada makanan bergoreng dengan menggunakan tisu dapur sebelum dihidangkan. Elakkan juga penggunaan bahan mencelup tepung kerana ia akan menyerap lebih banyak minyak.
Sebaiknya pelbagaikan teknik masakan dalam seminggu iaitu mengukus, membakar, merebus dan sebagainya dan gunakan kuali tidak melekat.
Selain itu, gantikan masakan yang menggunakan santan dengan susu rendah lemak.